Follow by Email

Loading...
"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, December 28, 2008

Wanita kes blog hina nabi ditahan - malaysiakini

Reactions: 
Wanita Melayu yang identiti serta gambarnya tertera pada sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad, ditahan polis petang semalam, bagi membantu siasatan kes itu mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Berita Minggu difahamkan, wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, ditahan di rumahnya di Kota Damansara, dekat sini, kira-kira jam 6.50 petang.

Selepas ditahan, wanita terbabit dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Perdana, di sini, untuk diambil keterangan.

Difahamkan, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 298(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Hasutan.

Sementara itu di CHUKAI, Terengganu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, wanita itu menemuinya dua minggu lalu dan menafikan dia adalah penulis dan pemilik laman blog berkenaan serta meminta bantuan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membersihkan namanya. Katanya, wanita itu percaya laman blog itu disalahgunakan pihak lain untuk memburukkan dirinya serta syarikat tempat beliau bekerja, tanpa diketahui motifnya.

“Saya sudah meminta RTM memuatkan cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan daripada laman blog terbabit supaya berhati-hati dan membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Nur Sejahtera dan Pembangunan Wanita Parlimen Kemaman, semalam.

Media semalam melaporkan sebuah laman blog, yang didakwa milik seorang wanita Melayu, didapati menyiarkan artikel berbahasa Melayu dan beberapa lukisan menghina Islam serta Nabi Muhammad.

Ahmad Shabery berkata, wanita itu juga berharap RTM menghebahkan perkara itu kerana laman blog itu turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu.

Katanya, beliau yakin wanita itu tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog berkenaan turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad dalam sebuah laman blog yang menggunakan nama seorang wanita Melayu lengkap dengan gambar dan profil peribadinya.

Oleh Ifwan Tun Tuah dan Suhaidi Mohamed Amin

Shabery Cheek "Kufur"@Ingkar@Kafir..! - malaysiakini

Reactions: 
Kelmarin dan hari ni aku tak de banyak masa untuk update blog ni sebab banyak urusan dekat luar jadi aku cuma siapkan entri ni sahaja untuk santapan pembaca hari ni. ini adalah amarah aku pada orang yang aku kira "pengkhianat Agama, Bangsa dan Negara Malaysia".

Quot dari malaysiakini -
  1. Ahmad Shabery berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.
  2. "Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman hari ini.
  3. "Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.
  4. "Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis," katanya.
Aku ada beberapa soalan yang nak aku ajukan pada "Pengkhianat" ni.

Soalan pada kenyataan no 1 diatas - wanita berkenaan telah bertemu Shabery DUA MINGGU LEPAS, tetapi kenapa setelah 2 minggu tiada apa-apa tindakan dari Shabery keatas permintaan wanita berkenaan?

Ini kenyataan pertama dari Shabery yang buat darah aku naik atas kepala hotak. dalam tempoh 2 minggu lepas sehingga blog berkenaan dipublish di[sini], aku tak nampak apa-apa tindakan pun dari Shabery yang boleh menyelesaikan masalah berbangkit. apa yang aku nampak ialah, tak ada apa-apa tindakan dari kementerian penerangan atau mana-mana media perdana berkenaan isu ini sedangkan didalam setengah-setengah yahoogroups, isu ini terlalu mendapat tempat dan menjadi perbincangan hangat.

Apa yang sebenarnya berlaku sepanjang 2 minggu ini ialah, media perdana yang berada dibawah kementerian penerangan pimpinan Shabery terlalu sibuk memutar belit isu hudud, cuba melaga-lagakan parti-parti pembangkang dan juga cuba untuk mengganggu perpaduan antara kaum dean agama di Malaysia dengan isu hudud tanpa cuba menjelaskan apa itu hudud kepada rakyat Malaysia.

Dalam masa 2 minggu ini, langsung tidak ada usaha dari kementerian penerangan pimpinan Shabery untuk menyelesaikan aduan dan permintaan wanita terbabit yang dianiaya.

Jelas disini, Shabery telah mengkhianati kesucian agama Islam dengan membiarkan perkara ini berlaku (didalam pengetahuannya) tanpa diambil sebarang tindakan dan usaha untuk memulihkannya.

Bukan Islam Sahaja Yang Dihina.


Aku juga mendapat banyak maklumat berkenaan kes ini dan antara yang menarik dan ada persamaan dengan kenyataan Shabery ialah -
  • memang sah bukan adibah punya kerja, saya dah call majikan dia auto bavaria dan sahkan, budak ni dianiaya, orang tu hantar kad deepavali siap print gambar dia hantar pada branch auto bavaria, persatuan india dan client india dengan ucapan wishing u and ur paria family a happy deepavali. then hantar kad sama to many clients kata they all menang lucky draw bmw.
  • dia buat account adibah44@gmail.com and facebook adibah ahmad. account adibahsunyi at friendster dah kena block sebab dia dah buat police report dekat 4 kali. report to mcmc pun dah buat, tapi still no aciton taken yet sebab tak boleh trace.
Pada bahagian yang aku boldkan tu, jelas dekat situ ada usaha melaga-lagakan penganut agama Islam dan Hindu disitu dan pada kenyataan Shabery juga ada dianyatakan perihal kad ucapan tersebut.

Persoalannya ialah, apakah yang Shabery lakukan untuk menghindari perasaan syak wasangka dan salah sangka penerima kad ucapan tersebut dengan "pengirim" yang dianiaya?

Adakah Shabery sengaja mendiamkan perkara ini dengan harapan supaya timbulnya perselisihan faham antara kaum dan agama di Malaysia atau mungkinkah ada dalang disebalik perkara ini yang sengaja mereka-reka isu ini supaya berlaku ketidak stabilan di Malaysia?

Shabery perlu perjelas perkara ini kepada umum dan apa yang aku lihat dan terfikir buat masa ini ialah, Shabery langsung tidak layak untuk memegang jawatan menteri penerangan kerana terbukti Shabery telah gagal menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.

Udang Sebalik Batu?

Setelah aku amat-amati perkara ni, aku macam terfikir akan ada udang sebalik batu dibelakang semua ni.

Aku pelik kenapa lepas 2 minggu aduan dibuat pada menteri penerangan, sekurang-kurangnya 4 laporan polis dibuat - langsung tidak ada feedback dari ke 2-2 badan tersebut.

Tiada kenyataan bertulis rasmi atau tidak rasmi dari pihak media setelah dimaklumkan oleh pengadu supaya dihebahkan duduk sebenar perkara tersebut demi membersihkan kembali namanya yang dianiaya.

Tiada juga kenyataan bertulis rasmi atau tidak rasmi yang menjelaskan kepada penerima-penerima kad ucapan tersebut di media setelah aduan dibuat oleh pihak yang dianiaya sebaliknya aku difahamkan bahawa pihak autobavaria terpaksa mengambil inisiatif sendiri menghubungi pelanggan-pelanggan menjelaskan perkara sebenar.

Apa fungsi kementerian penerangan sebenarnya? menerangkan sesuatu yang benar atau mengadu domba memainkan sentimen perkauman, keagamaan dan juga menimbulkan suasana tidak stabil antara kaum dan agama?

Apakah Shabery rasa soal menghina agama Islam ini tidak penting untuk diselesaikan berbanding dengan soal memutar belit hudud?

Shabery "Kufur"@Ingkar@Kafir..!

Yang ni memang aku tak boleh kompromi.bagi aku, jelas sangat-sangat bahawa Shabery tergolong dalam golongan orang-orang yang "kufur" sebab tidak cuba untuk melindungi seorang perempuan Islam yang dianiaya oleh orang yang tidak beragama padahal dengan jawatan yang dipegangnya, Shabery mampu untuk menyelamatkan seorang perempuan Islam dari fitnah dan wasangka terhadap saudara seagamanya sendiri.

Akibat dari ke"kufur"an Shabery, perempuan Islam yang dianiaya oleh seorang yang tidak beragama, telah dinista dan dicaci oleh bukan seorang dua, malah mungkin mencecah berjuta-juta orang Islam kerana tiada usaha dari seorang menteri yang Kufur untuk membersihkan nama perempuan Islam tersebut dari fitnah padahal menteri ini memang mampu untuk melakukannya.

Lebih menyerlah kekufuran Shabery ialah apabila media perdana dibawah kementeriannya saling berlumba memainkan isu hudud dan langsung tidak ada usaha untuk menerangkan apa itu hudud kepada Rakyat Malaysia...kalaupun kau tak suka hudud dilaksanakan di Malaysia, sebagai seorang Islam apa salahnya kau terangkan apa itu hudud kepada yang tidak faham? kau kan pegang portfolio "Menteri Penerangan".

Susah sangat ke kau nak laksanakan tanggungjawab kau pada agama kau dan susah sangat ke kau nak laksanakan amanah yang diberi ataupun kau memang seorang yang "kufur"???

Shabery WAJIB letak jawatan...!!!

Korang perasan tak kenyataan Shabery -
  • "Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad S.A.W, mendakwa, laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.
  • Ahmad Shabery berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.
Korang tau tak kenapa aku boldkan ayat dekat atas tu?

Sebenarnya "blog" tu baru je dibuka pada 24hb. Disember, 2008. maknanya tak sampai seminggu pun usia blog tu... macam mana Shabery boleh cakap "dalam pertemuan 2 minggu lepas???"

Apa sebenarnya di"belakang tabir" isu hina Rasulullah ni? adakah "Director"nya adalah orang yang sama yang mengarah filem "Say Fool meets Najib"???

Entahhh...

*"kau" merujuk kepada Shabery

Ambil tindakan segera terhadap penulis blog

Reactions: 
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia akan menimbulkan kekacauan dan mengundang masalah kepada negara.

''Saya sudah beritahu kepada polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya ambil tindakan segera dalam perkara ini.

''Ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana sudah tentu akan menimbulkan masalah besar dalam negara kelak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D' Paradise dekat Brisu di sini hari ini.

Lawatan ke dusun buah-buahan tersebut adalah yang kedua dibuat oleh Perdana Menteri selepas merasmikan pembukaan tempat itu pada 2005.

Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perdana Menteri diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malalaysia hari ini mengenai kewujudan sebuah blog yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mengundang rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu, bagaimana gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.

Menurut Abdullah, dalam ucapan sempena Hari Krismas baru-baru ini, beliau menekankan betapa pentingnya amalan toleransi di kalangan masyarakat demi memastikan kehidupan rakyat berbilang bangsa dan keturunan di negara ini sentiasa terpelihara.

''Kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama.

''Ini berlaku pula begini, boleh jadi budak itu (penulis blog) tidak dengar apa yang saya cakap, perbuatannya ini akan menimbulkan banyak masalah yang tidak akan menyenangkan kita," katanya.

Abdullah berkata, semua rakyat perlu sentiasa ingat untuk tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh menghina agama dan kepercayaan mana-mana kaum di negara ini.

''Sama ada dia (ahli masyarakat) menganuti agama Islam atau Buddha, Kristian atau Hindu, dia tidak boleh menghina agama lain.

''Ini kerana, kita saling bergantung dan tidak boleh bergaduh sesama kita sebagai rakyat Malaysia jika kita mahu negara ini makmur,'' kata Perdana Menteri.

Polis kumpul maklumat blog hina nabi

Reactions: 
Polis kini sedang giat mengumpul maklumat berhubung tindakan sebuah laman blog yang dikesan menghina Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, selain membuat siasatan dalaman, pihaknya juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan secepat mungkin.

Beliau menegaskan, tindakan penulis blog itu tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan kekacauan di negara ini dan dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

“Perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu.

“Perbuatan itu juga mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan, sebuah laman blog dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu. Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.

Berdasarkan blog itu lagi, kononnya penulis wanita tersebut berfikiran terbuka.

'Saya tidak tergamak hina Nabi Muhammad' - malaysiakini

Reactions: 
Wanita yang nama dan gambarnya digunakan bagi mewujudkan sebuah blog yang menghina Nabi Muhammad SAW mendakwa sudah menjadi mangsa gangguan dalam pelbagai cara sejak lima bulan lalu.

Mangsa mendakwa sudah membuat lima laporan polis dalam tempoh itu termasuk laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi tidak membawa sebarang hasil dan dia terus diganggu.

Menurut wanita berumur 27 tahun dan berasal dari Kedah itu, gangguan ke atas hidupnya bermula sejak akhir Ogos lalu iaitu ketika dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan.

"Mungkin ada orang cemburu sebab saya berkahwin atau cemburu pasal saya hidup senang sikit, tetapi saya tidak mahu menuduh sesiapa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata mangsa, hidupnya kini tidak tenteram apabila adakalanya menerima sehingga ratusan panggilan telefon dalam masa sehari di tempat kerjanya daripada orang ramai yang bertanya perkara bukan-bukan.

"Saya malu dengan keluarga suami saya terutama sekali pasal mereka pun belum cukup mengenali saya," jelasnya.

Beliau menjelaskan, antara gangguan itu ialah e-mel kepada pelbagai pihak mengatakan dirinya perempuan murahan, penghantar kad ucapan Deepavali mengandungi kata-kata hinaan kepada masyarakat India dan menghantar kad kepada golongan VIP kononnya memenangi hadiah kereta mewah dari syarikat tempatnya bekerja.

Menurut mangsa, gangguan terbaru adalah blog yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW yang dia sendiri pun tidak sempat untuk melihatnya.

"Saya tidak akan tergamak sama sekali untuk menghina Nabi Muhammad SAW, orang yang buat macam ini pastinya sudah gila," katanya.

Mangsa itu kini menyerahkan kesnya itu kepada pihak polis dan SKMM untuk menyelesaikannya dan berharap kedua-dua pihak tersebut bersungguh-sungguh membantunya.

"Pihak SKMM kata pada saya semasa saya buat laporan dahulu, orang hendak menggenakan saya menggunakan Gmail yang kononnya sukar untuk dikesan," katanya.

Mangsa berkata, walaupun bimbang keselamatan diri dan kusut memikirkan apa yang berlaku, tetapi dia tidak menyerah kalah dan akan tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.

Laman blog yang didakwa dibangunkan mangsa dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat kepada Nabi Muhammad SAW.

Berdasarkan blog terbabit lagi, kononnya penulis wanita tersebut berfikiran terbuka.

Blog itu sarat dengan pelbagai tohmahan dan penghinaan ditujukan kepada Rasulullah.

Segala penghinaan itu pula disertakan dengan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan mempersenda serta lukisan-lukisan memburuk-burukkan Nabi Muhammad termasuk yang pernah disiarkan oleh akhbar Eropah yang dikecam hebat oleh umat Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, usaha untuk melayari blog berkenaan hari ini gagal kerana ia sudah dipadamkan.

Wanita jumpa Shabery minta bantuan bersihkan nama

Reactions: 
Wanita yang gambar dan identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW pernah berjumpa Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meminta bantuan untuk membersihkan namanya.

Dalam pertemuan yang berlaku dua minggu lepas, wanita itu mendakwa laman blog itu bukan miliknya, sebaliknya digunakan oleh pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Ahmad Shabery ketika mendedahkan perkara itu berkata, wanita berkenaan meminta bantuan RTM supaya menghebahkan kepada umum mengenai kehadiran laman blog itu yang bukan saja menghantar mesej tetapi juga ucapan Deepavali berbaur penghinaan yang boleh membangkitkan kemarahan penganut Hindu.

Menurutnya, hasil pertemuan itu beliau telah meminta RTM memuatkan masalah yang dihadapi wanita itu dalam satu slot berita terbitan stesen berkenaan.

"Dia menafikan terlibat dalam blog itu dan meminta pertolongan untuk hebahkan perkara itu agar orang tidak keliru dan menaruh prasangka terhadapnya.

"Penyiaran berita itu bertujuan supaya jika ada sesiapa yang menerima mesej atau ucapan itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis," katanya ketika merasmikan Majlis Nur Sejahtera Peringkat Daerah Kemaman di sini hari ini.

Ahmad Shabery memberitahu, wanita berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai akauntan dengan sebuah syarikat permotoran gergasi di Lembah Klang itu mengakui keliru dengan motif pihak yang tidak bertanggungjawab itu sama ada berniat tidak baik terhadap dirinya atau majikannya.

Berikutan kehadiran laman blog itu katanya, wanita itu memberitahu dia berhadapan dengan tekanan mental dan fizikal yang amat berat.

Menurutnya, wanita itu memberitahu dia mula menyedari kewujudan laman blog itu di laman Friendster beberapa bulan lepas iaitu sebelum perayaan Deepavali.

Katanya, wanita itu juga memberitahu telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang melakukan perbuatan tersebut.

Justeru, beliau meminta pihak berkenaan membuat siasatan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dan umat Islam tidak dipandang negatif oleh pihak lain.

"Bagaimanapun saya difahamkan usaha mengesan pihak berkenaan sukar kerana sistem pelayar yang digunakan itu berpangkalan di luar negara," jelasnya.

Tindakan tegas terhadap pengendali laman web

Reactions: 
Individu yang menggunakan identiti orang lain untuk menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamed Sharil Tarmizi berkata, penguatkuasaan itu sama seperti pengendali laman web dan blog yang menyebar kandungan bersifat jelik, mengancam dan mengugut.

Menurutnya, mereka juga boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

"Kita akan menyiasat perkara ini sama ada wujud unsur penganiayaan terhadap penulis, melibatkan pihak lain atau tidak.

"Kita juga sentiasa memantau mana-mana laman web dan blog yang mempunyai kandungan diragui," katanya ketika dihubungi wartawan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sebuah laman blog dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW yang dilaporkan media semalam.

Blog tersebut turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu. Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat oleh pihak lain.

Ditanya tentang laporan yang dibuat penulis itu kepada SKMM, Mohamed Sharil bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan.

Difahamkan, pengendali blog berkenaan telah memadamkan laman webnya selepas laporan berhubung perkara itu disiarkan malam tadi.

Mufti: Murtad jika hina Rasulullah - malaysiakini

Reactions: 
Umat Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW sama ada secara lisan atau bertulis adalah golongan murtad kerana memperkecilkan kebesaran dan keagungan Rasulullah.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, mereka juga memiliki budi pekerti dan akhlak yang rendah kerana tidak menghargai sejarah dan pengorbanan baginda semasa mengembangkan syiar Islam.

Menurutnya, Islam tidak pernah mencaci dan melarang umatnya mempelajari agama lain asalkan ia tidak terpesong dengan akidah.

“Rasullullah tidak pernah melarang umat baginda daripada berubah ke arah kebaikan. Apa yang dikesalkan mengapa perlu ada sifat mencaci agama sendiri.

“Bukan Islam juga perlu mengetahui batasan mereka dalam konteks agama dan perlu menghormati agama lain juga,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan terdapat sebuah laman blog yang menghina Rasulullah.

Harussani memberitahu, umat Islam juga tidak boleh mencaci agama lain serta tempat keagamaan mereka seperti tokong dan gereja sebagai tanda menghormati.

“Orang bodoh sahaja yang menghina agama sendiri dan membuat perbandingan dengan agama lain. Jangan jadikan agama Islam sebagai bahan uji kerana akan merosakkan akidah,” jelasnya.

Katanya, umat Islam yang terpesong juga perlu kembali ke pangkal jalan dan mempelajari semula ilmu-ilmu keislaman seperti syariat, akhlak, tafsir, hadis, politik, pendidikan dan kemasyarakatan.

Sekat blog ancam perpaduan

Reactions: 
Pergerakan Puteri UMNO mahu pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera menyekat blog-blog yang menghina agama dan mengandungi unsur perkauman yang keterlaluan di negara ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, dengan perkembangan penggunaan Internet secara meluas kini, wujud satu bentuk bahaya besar yang boleh menggugat perpaduan kaum jika unsur-unsur tidak sihat di alam maya tidak dipantau rapi.

"Memang benar blog boleh dijadikan tempat untuk meluahkan pandangan yang terbuku di hati masyarakat, tetapi kewujudan blog-blog yang membahayakan perpaduan perlu diambil tindakan segera," katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Beliau mengulas kewujudan sebuah blog yang didakwa dibangunkan seorang wanita Melayu yang penuh dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Blog itu sarat dengan pelbagai tohmahan dan penghinaan ditujukan kepada Rasulullah.

Menurut Shahaniza, blog yang cuba memesongkan akidah atau berunsur hasutan tidak seharusnya dibiarkan beroperasi.

Tegasnya, pengendali atau pemiliknya perlu dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya melalui akta-akta yang bersesuaian seperti Akta Hasutan.

Beliau yang juga seorang penulis blog berkata, tidak sukar untuk membezakan blog yang betul dengan blog mengandungi tujuan lain atau ancaman kepada masyarakat.

Mengulas lanjut kewujudan blog yang menghina Nabi Muhammad SAW itu, Shahaniza berkata, ia jelas mencerminkan sikap kurang ajar pihak yang membangunkannya.

"Mungkin wanita Melayu yang gambarnya itu diletakkan tidak terbabit dalam isu ini, tetapi pihak yang cuba menggenakan dirinya melalui cara seumpama itu amatlah hina dan jahat sekali motifnya,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk membantu mangsa berkenaan dalam apa cara yang difikirkan sesuai kerana yakin berkemungkinan besar wanita itu tidak terbabit dalam penubuhan blog berkenaan.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan menerusi peruntukan undang-undang sedia ada supaya menjadi pengajaran kepada anggota masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mempermainkan perkara-perkara sensitif terhadap mana-mana kaum atau agama.

"Saya minta kerajaan mengambil tindakan tegas supaya masyarakat sedar dan boleh menilai bahawa perlakuan seperti itu tidak seharusnya dilakukan dan tindakan tegas juga sebagai pengajaran kepada golongan yang berhasrat berbuat demikian supaya tidak melakukannya.

"Saya yakin dengan kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang ada, majoriti rakyat ternanti-nanti dan akan menyokong tindakan yang diambil kerajaan supaya perkara ini dihentikan," katanya.

Pemuda UMNO Maran buat laporan

Reactions: 
Pergerakan Pemuda UMNO Maran hari ini membuat laporan polis berhubung penyiaran laman blog yang menghina Nabi Muhammad.

Pergerakan itu yang terdiri daripada 20 ahli jawatankuasa bahagian yang diketuai Mohd. Najuib Mohd. Shahaimi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran di sini kira-kira pukul 3 petang ini.

Mohd. Najuib yang juga ketua pergerakan tersebut ketika ditemui berkata, pihaknya mahu kerajaan bertindak segera terhadap pengendali laman blog tersebut demi menjaga keamanan negara.

Tegas beliau, penyiaran laman blog itu jelas berniat jahat yang sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Kewujudan laman blog menghina Nabi Muhammad perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan, ia boleh menggugat kemakmuran dan kestabilan negara,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Najuib berkata, ada pihak yang menggunakan isu agama sebagai strategi untuk menimbulkan rasa syak wasangka di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Maran, Mohd. Khairul Amin Othman kesal dengan tindakan pengendali blog berkenaan yang kononnya dipaparkan sebagai seorang wanita Melayu Islam yang berfikiran terbuka.

Katanya, telah ada kecenderungan rakyat yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman blog untuk mencetuskan huru-hara dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad.

“Dalam situasi ini mungkin ada pihak lain yang menyamar nama wanita Islam dengan menggunakan blog untuk menghina Nabi Muhammad secara melampau,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Maran, Saiful Azman Afendi Mokhtar pula menganggap individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyiaran laman blog itu sebagai amat berbahaya kepada negara.

Individu atau kumpulan terbabit, tegasnya, perlu dikenakan tindakan paling tegas termasuk di bawah Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau menegaskan, Pemuda UMNO Maran mahu pihak berkuasa mengesan segera pengendali laman blog itu agar dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada pihak lain.

PM arah tindakan terhadap blog hina Nabi Muhammad

Reactions: 
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog, yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.

"Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat Alor Gajah, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.

Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.

Abdullah berkata: "Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama".

"Ini berlaku pula begini, boleh jadi budak itu (penulis blog) tidak dengar apa yang saya cakap, perbuatannya ini akan menimbulkan banyak masalah yang tidak akan menyenangkan kita," kata Perdana Menteri.

Beliau mengingatkan jangan ada mana-mana pihak atau sesiapapun menghina agama dan kepercayaan rakyat Malaysia sama ada Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu memandangkan kesemuanya tinggal dalam sebuah negara.

"Kita bukan bermusuhan sesama kita, kita bukan bergaduh sesama kita.

"Sebenarnya kita semua rakyat Malaysia yang hendak negara kita ini aman, selamat dan makmur dan semuanya hidup dalam keadaan senang, sama-sama maju dan kita sama-sama berjaya dan negara kita sama-sama aman dan makmur," katanya.

Abdullah berkata, semua rakyat perlu sentiasa ingat supaya tidak sesekali melakukan perbuatan yang boleh menghina kepercayaan agama mana-mana kaum.

KOMEN MENTERI PENERANGAN


Dalam pada itu, wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di Kemaman hari ini.

"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhatihati dan membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Shabery berkata, wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.

"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.

Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakanadakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.

Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.

Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain.

ULASAN POLIS

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, polis akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad itu.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah dan menggunakan gambar dan lukisan.

Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan.