Follow by Email

Loading...
"Pandangan Dalam Laman Ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap WebMaster & Lain-Lain Penulis. Dasar Kami : Menyiarkan semua posting para penulis jemputan tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan). Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat). ©1422 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Email: poji2ya@gmail.com

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya".
- Tun Abdul Razak, Dewan Rakyat (12hb. November, 1975)

Sunday, May 23, 2010

"Pencerahan" Yang Tertangguh...

Reactions: 
Salam Pencerahan!
“Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.” [4:107]
Pertama

SEPATUTNYA malam semalam ini, saya dihizbah oleh seluruh Perwakilan Pemuda PAS Negeri di Pulau Pinang. Mereka mahu hizbah saya ekoran entri Lebih baik bertanya Allah, dari bertanya Nasharuddin!

Sekitar jam 4.30 petang semalam, saya sendiri menghubungi Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Pemuda Pulau Pinang. Beliau memaklumkan bahawa wacana pencerahan antara saya dan sahabat-sahabat pemuda terpaksa ditangguhkan pada suatu tarikh lain.

Beliau di Kuala Lumpur bersama-sama beberapa pemimpin pemuda negeri kerana menghadiri suatu mesyuarat berkala Dewan Pemuda PAS Pusat.

Para pemimpin pemuda yang berniat untuk bertemu mata dengan saya, menurut beliau, masing-masing turut sibuk dengan tugasan-tugasan tarbawi serta beberapa aktiviti pemuda sempena Muktamar Thanawi tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa sudi untuk mengadakan program wacana tersebut kelak.

Kedua

Mendengar penjelasan tersebut, saya juga merayu kepadanya supaya wacana tersebut diadakan kelak.

Dalam pertimbangan saya, oleh kerana kritikan terbuka dibuat ke atas saya sebelum ini, elok saya dikritik sekali lagi secara berdepan dan secara terbuka oleh para perwakilan Pemuda PAS Pulau Pinang.

Kalau tidak baik untuk diri saya sekali pun, setidak-tidaknya baik untuk agenda pencerahan teman-teman yang mahu melihat PAS bergerak lebih progresif demi menggantikan Umno BN kelak.

Ketiga

Wacana malam ini ditangguhkan. Kepada rakan-rakan blogger Task Force 13 yang menunggu rakaman youtube saya pada sejak malam semalam, saya minta maaf.

Terlalu ramai telah saya jemput melalui sms (sistem pesanan ringkas) sebelum ini. Kalau ada yang masih belum menerima sms pembatalan, saya minta maaf banyak-banyak.

InsyaAllah, agenda pencerahan akan tetap dilaksanakan walau dengan apa cara sekalipun supaya kepemimpinan futuristik PAS holistiknya terdiri oleh:-
* kepemimpinan Islam yang takut (al-khauf) kepada Allah dan senantiasa mengharap (ar-rajaa’) kepada-Nya.
* kepemimpinan yang tidak mengkhianati perjanjian (tahalluf siyasi) sebagaimana yang dipedomankan oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnah-sunnah-nya.
* kepemimpinan (al-qiyadah) yang bersedia dihizbah oleh para ahli jamaah Islam PAS (al-jundiyyah).
* kepemimpinan yang berkomited (al-intima’) dan berdisiplin (al-indhibat) dengan dasar-dasar PAS serta muafakat Pakatan Rakyat.
* kepemimpinan futuristik (al-istiqbaliyah) yang bersedia menggantikan Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.
Keempat

Bagi yang terpinga-pinga membaca entri ini, saya minta maaf. Saya sengaja rahsiakan usaha Pemuda PAS Pulau Pinang mahu menghizbah saya sebelum ini atas nasihat beberapa pemimpin Pemuda negeri sendiri. Kebanyakan mereka mahu melihat kebenaran di antara saya dan mereka yang mengkritik saya.

Saya menulis entri ini pun atas nasihat mereka supaya tidak ada mana-mana pihak dikelirukan oleh pihak tertentu yang tidak gembira dengan budaya wacana pencerahan yang mahu dilaksanakan oleh kepemimpinan dinamik Ustaz Yusni dan saya sendiri.

Nak dipendekkan cerita, semuanya bermula pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri sebulan yang lalu apabila suatu usul tergempar telahpun dibuat Ustaz Mat Taliban untuk memecat saya.

Dari semakan semula minit daripada beberapa perwakilan yang mendengar ucapan tersebut, berikut adalah inti dakwaan Ustaz Mat Taliban ke atas saya:-
* Zainulfaqar tidak mempunyai etika kewartawanan Islam dan beliau wajar dipecat kerana menegur pemimpin PAS (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) secara terbuka; termasuk menggunakan blognya.
* Beliau berkata, “Orang jahat-jahat ini, kita (Mat) kena sebut nama. Kalau saya tak sebut nama Zainulfaqar pun, saya percaya akan ada orang (perwakilan) di sini menyampaikan kata-kata saya kepadanya.
* Ustaz Mat turut mengumumkan no.telefon (0195454183) dan alaman kediamannya di depan semua perwakilan Pemuda supaya disampaikan kepada saya; sambil mencabar saya untuk dihizbah.
Selain Ustaz Mat, seorang lagi pemimpin pemuda yang saya sendiri tidak kenal, dilaporkan telah mendakwa saya sebagai liberalis, khawarij dan agen perosak jamaah (PAS).

Tidak cukup dengan itu, dilaporkan Sdr. Zuzalee Ariffin (Exco Pemuda PAS Pulau Pinang) turut membuka komputer riba untuk menunjukkan kebiadaban wartawan badwi yang bernama Zainulfaqar Yaacob.

Saya secara peribadi tidak percaya kerana Zuzalee yang saya kenal adalah seorang Murabbi; walaupun beliau sewaktu di sekolah menengah dahulu adalah junior.

Sebab itu, sejak saya diberitakan sedemikian, saya terus menghubungi Zuzalee (0135044040). Tetapi. Namun, panggilan saya tidak pernah dijawab.

Mungkin siangnya sibuk dengan urusan di sekolah. Malamnya pula, sibuk melaksanakan program tarbawi di Universiti, Maktab dan dakwah di peringkat sekolah.

Kalau benar pun, saya tidak salah. Memang saya mahu entri-entri pencerahan dari blog kecil ini menggamit semua pihak untuk marah dan mengkritik saya.

Sekurang-kurangnya, memberi kesempatan kepada saya untuk menghadapi mereka secara rasional dan ilmiah; bukannya emosional tanpa pedoman ilmu.

Bagaimana pun, dalam wacana yang bakal dijadualkan kelak, saya boleh bertemu dengan beliau dan Ustaz Mat Taliban dalam suasana yang penuh harmoni lagi ilmiah.

Kelima

Tujuan saya bertanya sedemikian, bukan untuk mencari salah sesiapa. Saya mahu melihat di mana salah saya? Sebab itu, saya perlu semakan semula (double check) setiap pengkhabaran yang sampai ke telinga saya.

Saya tidak mahu menerima berita daripada orang-orang yang fasik. (49:6)

Di bilik berita, banyak juga pengkhabaran yang terlalu peribadi, saya dengar daripada pihak ketiga. Saya terus menghubungi mereka atas rasa husn al-dzhon untuk mengabsahkan berita-berita tersebut. Rakan-rakan sekerja mungkin tersenyum kerana wartawan badwi yang bernama Zainulfaqar terlalu berterus-terang dalam percakapannya.

Begitu juga dengan pelbagai pengkhabaran dari Pejabat Agong PAS. Pernah satu ketika, seorang pemimpin Pemuda PAS Selangor menghubungi saya dan memberitahu bahawa Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi kuat mengkritik saya dalam suatu menyuarat.

Orang bodoh berpolitik lagi badwi seperti saya terus menghubungi Ustaz Nasruddin. Alhamdulillah, kami akhirnya berwacana. Lihat entri Jangan Tampar.

Keenam

Semalam, Muhammad Al-Amin Mohd Sobri (Pengerusi Sekretariat Penerangan PAS Pulau Pinang) kebetulan ke tempat yang sepatutnya diadakan wacana pencerahan dan hizbah. Beliau berkata, tarikh wacana semalam (22 Mei) bukan ditetapkan oleh beliau. Ustaz Yusni (Ketua Pemuda PAS) yang menetapkan tarikh tersebut.

Katanya lagi, saban hari beliau follow up Ustaz Mat Taliban serta beberapa sahabat beliau melalui panggil panggilan pertemuan (liqa’), panggilan telefon serta sms. Namun, beliau berkata, hanya Ustaz Yusni (Ketua Pemuda) sahaja yang menunjukkan keikhlasan serta komitmen yang padu untuk mengadakan wacana pencerahan tersebut.

Saya berkata kepadanya, Ustaz Yusni sebenarnya sama memang seorang pemimpin masa depan PAS Pulau Pinang. Beliau seperti Ustaz Nasruddin Tantawi yang begitu santuni wacana dan ilmu. Semoga Allah mengangkat kepemimpinan dinamik ini di Malaysia/Pulau Pinang kelak.

Sehubungan itu, beliau meminta saya jelaskan dalam entri ini bahawa penangguhan tersebut tidak patut diletakkan di atas pundak Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang. Bukan pemuda yang bersalah. Kalau bersalah pun, mungkin pihak tertentu yang saya memang tidak mahu sebut nama mereka di sini.

Suka saya nyatakan di sini bahawa saya tidak ada apa-apa masalah berhubung penangguhan wacana pencerahan semalam.

Bagi saya, oleh kerana saya didakwa dihadapan khalayak, lebih elok saya dihizbah secara rasional dan ilmu oleh mereka yang terbabit juga di depan khalayak.

Sesungguhnya saya berpegang kepada Hadith Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi; yang bermaksud:

“Keterangan di atas pihak yang mendakwa dan sumpah di atas pihak yang menafikan (yang kena dakwa)…”

Ketujuh

Banyak pemimpin yang saya temui acapkali mempersoal soal adab saya dengan pemimpin.

Kebanyakan mereka mendakwa tindakan saya menegur Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS secara terbuka dan menggunakan blog seakan tidak wala’ kepada pemimpin jamaah PAS.

Dakwah mereka lagi, tindakan saya itu seakan membuka aib seorang muslim sebagaimana terlarang di sini Islam.

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Barang siapa menutup (aib) muslim (yang lain), pasti Allah akan menutup (aibnya) pada hari qiamat.” [Bukhari: 2262]

Saya yakin semua kita membaca Hadith ini. Waktu berwacana dengan Ustaz Nasruddin pun, hadith ini digunakan untuk memandulkan usaha pencerahan yang saya lakukan.

Semalam, Ustaz Sheikh Abdul Qadir al-Jofri (Pegawai Penyelidik Dewan Ulama PAS Pusat merangkap penasihat Ustaz Nasruddin) dalam PMiUSM’s internal workshop pun mengkritik saya, mungkin atas hujjah zahiri hadith ini.

Mengapa saya seorang sahaja dipersalahkan?

Mengapa tidak ada langsung pemimpin Pemuda PAS Pusat dan negeri yang bangkit mempersoal tindakan Nasharuddin asyik berbincang ’sesuatu’ di Cafeteria Ahli Parlimen; pada kala semua Ahli Parlimen Pembangkang yang lain (tidak kira Muslim atau non-Muslim) sedang bergolok gadai menentang usaha Umno membawa masuk agen Yahudi ke tanah air di Dewan Rakyat?

Sekali lagi, saya merayu kepada Lembaga Disiplin PAS supaya memanggil saya selaku ahli biasa untuk dihizbah. Sekiranya saya terbukti melakukan sesuatu yang sah bertentangan dengan syariat, sila pecat saya sebagai Ahli PAS danwartawan biasa di Harakahdaily.

Berbalik pada potongan hadith berkaitan aib di atas, suka saya nyatakan bahawa inti pada matan hadith ini terdiri olehlafaz umum; iaitu ianya masih boleh dikhususkan dengan nas-nas sahih yang lain.

1. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cendung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman yang kelak (boleh) mengakibatkan kamu disambar api neraka dan sesekali kamu tidak mempunyai penolong pun melainkan Allah s.w.t (maka sekiranya kamu zalim) kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” [11:113]

Suka saya nyatakan bahawa tindakan saya mempersoal tindakan Nasharuddin kerana iltizam saya untuk menentang apa jua usaha membawa jamaah PAS bergabung dengan Umno. Saya juga penentang sesiapa saya yang berniat menggagalkan tahalluf siyasi atas nama Pakatan Rakyat kerana mengkhianati perjanjian bukan sifat Rasulullah dan sifat khianat adalah sesuatu yang zalim. Ini motif tulisan saya.

Maka, sesiapa yang mahu menolak saya atau lebih tepat mempertahankan tindak-tanduk Nasharuddin itu, adakah kalian turut menolak iltizam saya yang tidak mahu cenderung pada aktiviti-aktiviti yang dekat pada kezaliman?

2. Firman Allah yang lain, yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang telah kamu ambil perjanjian daripada mereka, sesudah itu mereka mengkhianati janjinya (janji bersama Rasulullah s.a.w) pada setiap kalinya, dan mereka tidak takut (akibat-akibatnya).” [8:56]

Menurut riwayat Ibn Abbas, ayat ini diturunkan (asbab al-nuzul) ekoran Yahudi Bani Quraizah yang mengikat perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. Mereka kemudiannya bukan sahaja mengkhianati perjanjian itu, malah bergabung dengan musyrikin Makkah untuk menentang Rasulullah s.a.w.

Mereka kemudiannya meminta maaf kepada nabi dengan berkata, “Kami tersilap…” Kemudian, mereka memeterai satu lagi perjanjian bersama-sama Rasulullah s.a.w. Tetapi, mengkhianati sekali lagi perjanjian tersebut. Kemudian mengkhianati perjanjian ketika Perang Badar al-Qubra. Selepas itu, mereka mengikat satu lagi perjanjian [at-Tafsir al-Kabir, Jilid 7, h.420]

Al-Alusi menambah, Kaab (Ketua Kabilah Bani Quraizah) ketika menaikan kuda lalu berkata, “Dia bersumpah untuk menyerang Rasulullah s.a.w…”

Berdasarkan ayat di atas, saya hanya mahu bertanya kepada mereka yang begitu iltizam mempertahankan tindak-tanduk Nasharuddin pula, apakah pandangan kalian terhadap pemimpin tertentu dalam jamaah Islam PAS yang ternyata menipu ahli-ahlinya serta berusaha mengkhianati tahalluf siyasi dengan pergi ‘berunding dengan Umno dalam gelap’?

3. Firman Allah yang lain, yang bermaksud:

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang, melainkan oleh orang-orang yang teraniaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [4:148]

Imam Fakhruddin ar-Razi berkata, “Allah s.w.t tidak suka makian melainkan kepada mereka yang jika tidak dilakukan demikian akan mengakibatkan keburukan (mudharat) yang lebih besar. Ketika itu, hukum makian itu diharuskan.

Ar-Razi menafsir demikian dengan suatu hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sebutlah apa-apapun terhadap orang-orang fasiq supaya manusia berhati-hati terhadapnya…”

Tidak cukup dengan itu, al-Razi menegaskan bahaw mencela kezaliman Sang Penzalim tidak termasuk di bawah ketegori mengumpat (al-Ghibah) [at-Tafsir al-Kabir, jilid 5, h. 424]

Sekali lagi saya mahu bertanya, salahkah saya bertanya kepada Nasharuddin di Cafeteria Ahli Parlimen beberapa bulan lalu?

Saya juga mahu bertanya kalian, di antara adab al-insan yang kalian tegakkan demi mempertahankan tindakan Nasharuddin dan adab al-Quran yang saya jelaskan di sini, kalau saya memilih untuk berpegang dengan adab al-Quran,adakah saya bersalah?

4. Lihat sabda Rasulullah s.a.w dalam Sahih Muslim, No.70 :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksud: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menukarnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Demikian adalah selemah-lemah iman.

Hadith ini bukan menuntut kita memilih menegur dengan hati dengan mengatakan bahawa, “kalau nak menegur pemimpin PAS, sebenar ana lagi banyak perkara nak cakap, kalau nak tulis pun, ana boleh tulis blog lebih banyak dari wartawan badwi itu. Ana nak jaga parti saja sheikh, sebab itu ana tolak dengan hati sahaja.”

Hadith ini juga bukan menuntut kita hanya berani cakap belakang sahaja. Sebab itu, seperti tindakan ana sebelum ini menegur Nasharuddin serta mengajak beberapa pemimpin Pemuda PAS Pulau Pinang berwacana, insyaAllah jika tiadaaral melintang, saya berminat untuk mengajak Ustaz Abdul Qadir al-Joffri berwacana kelak tentang adab dengan pemimpin sebagaimana yang beliau gambarkan di depan adik-adik USM semalam.

Kebanyakan cendekiawan Islam mentakwilkan tangan dari hadith ini dengan kekuasaan. Kekuasaan di sini bermakna apabila PAS berkuasa, bukan memaksa masyarakat Islam dan bukan Islam secara paksaan seperti yang dilakukan oleh puak-puak Kerajaang Perpaduang sekarang.

Firman Allah yang bermaksud, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat...” [2:256]

Sebab itu kalau dicermati dari sirah Rasulullah s.a.w, selepas Rasulullah s.a.w menjadi Ketua Negara Madinah al-Manawwarah, penyebaran Islam dilakukan secara hujjah dan futuwwah.

Dan sebab itu juga, saya mahu menasihatkan puak-puak Kerajaan Perpaduang supaya tampillah ke hadapan untuk berhujjah dengan saya dan rakan-rakan dalam Task Force 13 atas perkara-perkara yang kita berbeza.

Ini bukan zaman jahiliah moden yang membolehkan para pemimpin parti memaksa ahli-ahli partinya membuta tuli mengikut kehendak mereka. Ini zaman demokrasi liberal yang relatik yang cukup menyanjung rasional dan ilmu.

Jadi, apakah sebenarnya ‘ibrah (pengajaran) yang mahu dihayati daripada hadith tersebut? Bagi saya, hadith ini bukan menjelaskan tentang kepentingan menentang kemungkaran menggunakan tangan (kekuasaan), lidah (pengucapan) atau hati.

Tetapi, bagi saya hadith ini memberi isyarat kepada kita bahawa kemungkaran pada tahapan mana sekalipun mesti ditentang kerana ia terkait rapat dengan persoalan keimanan kita kepada Allah s.a.w dan Rasul-Nya.

Tuntasnya, salahkah saya mempersoal tindak-tanduk Nasharuddin secara bersemuka dan menggunakan blog ‘kecil’ ini?

Khatimah

Setakat ini dulu, wacana pencerahan saya. Saya yakin, tulisan ini mungkin akan mencuit rakan-rakan Blogger Pondan (meminjam istilah blogger Tulang Besi) yang enggan menerima kebenaran hujjah dan rasional.

InsyaAllah, semoga idea-idea pencerahan boleh memperkukuhkan dasar-dasar jamaah Islam PAS seperti yang termaktub dalam perlembagaan seterusnya melonjak PAS bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menggantikan rejim Umno BN pada PRU13 kelak.

WaLlahu ‘alam. Selebihnya, maafkan saya…

SAYA MUSLIM, SAYA BENCI PENGKHIANATAN

PRU13: BERSAMA RAKYAT TOLAK PEMIMPIN KHIANAT

Zainulfaqar Yaacob